PENGENALAN
 

Hasrat memperjuangkan keadilan untuk semua kaum serta menyemarakkan islah dan pembaharuan hendaklah dilaksanakan dengan berlandaskan perlembagaan dan prinsip keluhuran undang-undang.  Justeru, gerakan reformasi di Malaysia telah memilih PARTI KEADILAN NASIONAL sebagai wadah untuk meneruskan perjuangan murni ini secara berganding bahu denganparti-parti politik lain dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mendokong cita-cita yag sama.

 

OBJEKTIF  -   PRINSIP PERJUANGAN

1. Membina masyarakat yang adil dari segi pentadbiran, perundangan, politik, ekonomi, sosial dan budaya.

2. Memelihara dan mempertahankan kemuliaan insan dengan menghapuskan segala bentuk penindasan dan memperluaskan skop untuk mengaturkan kehidupan berdasarkan nilai-nilai moral.

3. Melindungi dan menjamin hak asasi manusia pada keseluruhannya serta menggalakkan individu menunaikan tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

4. Menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan membina sebuah masyarakat madani berasaskan perlembagaan negara dan prinsip keluhuran undang-undang.

5. Meningkatkan mutu kehidupan rakyat berasaskan falsafah keadilan sosial yang hakiki; menjamin agihan kekayaan dan peluang yang adil; membela nasib rakyat berpandapatan sederhana dan miskin; mengurangkan jurang pendapatan antara golongan yang paling kaya dan golongan kurang berada melalui pembangunan yang seimbang dan mapan yang mengawal persekitaran alam daripada pencemaran.

6. Mendukung dan memperjuangkan Islam sebagai sistem hidup masyarakat Muslim dan sebagai agama Persekutuan, seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, di samping mempertahankan prinsip kebebasan beragama serta menekankan kehidupan bermoral dan berakhlak.

7. Mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di samping memelihara hak bahasa-bahasa lain untuk diamal dan dipelajari serta mempertahan dan menerima penghayatan budaya Malaysia yang dinamis berteraskan nilai-nilai moral dan prinsip-prinsip hidup yang mulia.

8. Membangunkan sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu yang mendukung nilai-nilai bersama serta menolak fahaman perkauman sempit di samping memelihara kepentingan masyarakat bumiputera serta menjamin keadilan bagi semua kaum.

9. Memerangi rasuah, nepotisme dan kronisme; keangkuhan dan penyalahgunaan kuasa; dan sikap tamak haloba serta materialisme yang tidak mengenal batas.

10. Mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara dalam suatu susunan politik, ekonomi dan budaya antarabangsa yang adil yang melindungi hak negara-negara sedang membangun.
 


LATAR BELAKANG

PARTI KEADILAN NASIONAL atau keADILan adalah sebuah pertubuhan politik yang didaftarkan pada tahun 1990.  Nama asalnya adalah Ikatan Masyarakat Islam Malaysia dan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa pada tahun 1999, parti ini dipinda namanya kepda Parti Keadilan Nasional, sesuai dengan aspirasi perjuangan semasa.  Parti ini sejak awal penubuhannya telah didokong oleh barisan pimpinan yang ingi membwa perubahan atau reformasi kepada sistem politik dan pemerintahan negara.  Kini dengan senario dan angin perubahan yang semakin kuat melanda negara, parti ini mendapat nafas baru dengan penyertaan sebahagian besar pendokong dan pemimpin reformasi negara.

Misi perjuangan adalah jelas:  menegakkan keadilan dan kebenaran.  Cita-cita perjuangan adalah untuk membawa perubahan ke arah kesejahteraan rakyat.

 


BENDERA PARTI KEADILAN NASIONAL [keADILan]
 
 

Bendera parti berupa segi empat tidak sama yang berwarna biru langit (sky blue). Di tengah-tengah segi empat terdapat sfera (sphere) berwarna putih dan di tengah-tengah sfera itu pula terdapat satu bulatan yang berwarna biru langit.  Sfere berwarna putih menggambarkan bumi yang melambangkan perjuangan murni yang bersifat global.  Bulatan yang berwarna biru langit pula melambangkan keadilan sejagat.

 
 
Dikeluarkan oleh:
Sekretariat keADILan
Tel:  03 – 754 0716, 754 0786     Fax: 03 – 754 3780

SISTEM KEPIMPINAN
 

Parti Keadilan Nasional diterajui oleh seorang Presiden yang dipilih dalam Persidangan Agung Tahunan parti.  Parti ini mempunyai badan penggubal dasar tertinggi yang dinamakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).  Presiden dan ahli-ahli MPT dipilih melalui Persidangan Agung Tahunan Parti untuk tempoh selama tiga tahun.  MPT adalah terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, Bendahari Agung, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan ahli-ahli biasa MPT yang terdiri daripada Ketua-ketua Perhubungan Negeri yang dilantik oleh Presiden dan 7 orang ahli MPT yang dipilih dalam Persidangan Agung Tahunan.

Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan dan Ketua Wanita adalah dilantik oleh Presiden.  Kepimpinan di peringkat negeri diterajui oleh Ketua-ketua Perhubungan Negeri yaag menyelaraskan bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan parti di negeri masing-masing
 

Senarai Ahli  MAJLIS PIMPINAN TERTINGGI PARTI KEADILAN NASIONAL


MAJLIS PIMPINAN TERTINGGI PARTI KEADILAN NASIONAL
(keADILan)
 
PRESIDEN YB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
TIMBALAN PRESIDEN YBHG PROF. DR CHANDRA MUZAFFAR
NAIB PRESIDEN 1.  YBHG DATO' SHEIKH AZMI AHMAD 
2.  PUAN MARINA MOHD YUSOF 
3.  ENCIK CHUA TIAN CHANG
SETIAUSAHA AGUNG ENCIK MOHD ANUAR TAHIR
BENDAHARI USTAZ RAMLI IBRAHIM
KETUA PENERANGAN ENCIK RUSLAN KASSIM
KETUA PEMUDA ENCIK MOHAMAD EZAM M. NOR
NAIB KETUA PEMUDA ENCIK MUSTAFFA KAMIL AYUB
KETUA WANITA HAJJAH NELL ONN
NAIB KETUA WANITA PUAN FAUZIAH SALLEH
AHLI JAWATANKUASA 
 

 
 
 

1.   YBHG DR MOHD NOR NAWAWI  
2.   YBHG DR HALILI RAHMAT 
3.   YBHG DR NG LUM YONG  
4.   PUAN IRENE FERNANDEZ  
5.   ENCIK GOH KEAT PENG  
6.   ENCIK SAIFUDDIN NASUTION  
7.   ENCIK SAHRI BAHARI  
8.   YBHG DR ISMAIL HAMID  
9.   ENCIK JOHARI ABDUL  
10. YBHG DR MANSOR OTHMAN  
11. ENCIK KHALIL SHAH JAMALUDDIN 
12. YBHG DR GHAZALI BASRI  
13. ENCIK ZAINUR ZAKARIA  
14. ENCIK MOHAMAD RAFAIE ABD MALEK  
15. ENCIK OMAR JAAFAR  
16. ENCIK KAHAR AHMAD  
17. YBHG DR ABDUL WAHID AHMAD SUHAIMIE  
18. ENCIK NIK AZIZ NIK HASSAN  
19. ENCIK YUSUF ABDUL RAHMAN 
20. ENCIK ABDUL RAHMAN YUSOF 
 
 
KEAHLIAN

Keahlian parti ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Cara-cara memohon untuk menjadi ahli:

a.  Mengemukakan permohonan kepada Setiausaha cawangan dengan menggunakan borang permohonan menjadi ahli; atau

b.  Mengemukakan permohonan secara terus kepada Setiausaha Agung parti.

Untuk Keterangan Lanjut dan urusan pendaftaran, sila hubungi  Penyelaras Parti  Negeri
10 SOALAN TENTANG PARTI KEADILAN NASIONAL (keADILan)

1. Parti Keadilan Nasional [keADILan] ialah nama baru Ikatan Masyarakat Islam Malaysia. Apa perlunya aktivis reformasi mengambil alih parti lain?  Kenapa tidak menubuhkan parti baru?

Aktivis dan penyokong reformasi sudah cuba mendaftarkan parti baru.  Tiga usaha sudah dibuat, tetapi Pejabat Pendaftar Pertubuhan belum meluluskan ketiga-tiganya. Kita tidak boleh terus menunggu. Pilihanraya akan diadakan bila-bila masa. Kita perlukan masa untuk menyusun parti di peringkat akar umbi supaya dapat bertanding dalam pilihanrya. Dalam keadaan sekarang pun kita sudah rugi banyak masa.

2. Bukankah sudah ada parti-parti pembangkang, apa perlunya menubuhkan satu lagi parti baru?

KeADILan boleh memainkan dua peranan penting dalam barisan pembangkang.
Pertama, ia boleh menjadi saluran suara beribu-ribu ahli biasa UMNO dan ratusan ribu rakyat Malaysia yang tidak menjadi ahli mana-mana parti pada masa ini meskipun mereka sudah mempunyai kesedaran yang amat tinggi tentang kezaliman kerajaan Dr. Mahathir akibat krisis Anwar. Kumpulan ini amat besar di mana sehinggalah terjadinya peristiwa Krisis Anwar mereka puas hati dengan status quo tetapi sekarang mereka perlukan saluran politik mereka sendiri. KeADILan memenuhi keperluan mereka itu.
Kedua, kalau pihak Pembangkang hendak menjadi alternatif yang kredibel, parti-parti pembangkang mesti membuktikan mereka boleh mencipta gabungan yang kuat dan berkekalan. KeADILan berharap dapat membantu mereka bersatu dan melahirkan gerakan antara-parti yang memperjuangkan keadilan dan reformasi. Sebagai sebuah parti yang mendapat sokongan sentimen rakyat yang besar, iaitu sentimen yang melangkau semua batas perkauman, keADILan mampu memainkan peranan ini.
Lagipun, isu-isu yang diutarakan oleh ADIL, yang sehingga kini masih belum lulus pendaftarannya, serta pendekatan politik dan keprihatinan sosial yang diperjuangkan oleh ADIL telah melahirkan parti keADILan.  Inilah alasan mengapa keADILan hendak memainkan peranan menjadi jambatan antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu.  KeADILan berharap dapat mencapai matlamat ini disebabkan ia mempunyai hubungan rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di mana beliau sebagai pemimpin politik peringkat nasional selama ini telah dapat diterima oleh semua kaum. Lagipun, kredibiliti multi-etnik beliau menjadi tambah menonjol dengan tragedi dahsyat yang dialaminya di mana tragedi itu telah mendedahkan kezaliman dan kekejaman sistem BN ke atas semua rakyat Malaysia. Tragedi Anwar yang terkandung dalam kemunculan keADILan mampu menjadi faktor utama yang menyatukan barisan pembangkang dalam memperjuangkan keadilan yang lebih besar.

 3. Walaupun keADILan berhasrat untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, tidakkah ia mungkin dianggap sebagai pesaing mereka?

Sebagaimana yang sudah dijelaskan, keADILan muncul sebagai respons kepada perjuangan menegakkan keadilan melalui pembangkang baru, maka tidak ada sebab mengapa parti-parti pembangkang lain harus melihatnya sebagai ancaman. Sebaliknya, mereka mestilah menerima baik keADILan disebabkan ia memperkuatkan barisan Pembangkang disebabkan ia membawa masuk jumlah besar masyarakat Melayu dan sejumlah masyarakat Cina dan India yang sebelum ini memihak kepada status quo dan Barisan Nasional.  Juga penting diingat bahawa dari awal-awal lagi gerakan reformasi dan ADIL secara sedar memilih untuk bekerjasama dengan PAS, DAP dan PRM secara rapatnya. Pemimpin-pemimpin ADIL, terutamanya Presiden pro-temnya Dr. Wan Azizah bte Wan Ismail, berulang-ulang kali muncul di atas pentas parti-parti itu di khalayak ramai. Dari satu segi, kemunculan dan personaliti beliau telah memberikan kepada parti-parti pembangkang suatu matlamat dan misi bersama. PAS, DAP dan PRM adalah rakan seperjuangan keADILan yang amat rapat. Inilah sebabnya kita semua bekerjasama untuk mewujudkan sebuah barisan yang kukuh.

4. Disebabkan keADILan bekerjasama dengan Pembangkang, adakah ini bermakna ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan UMNO dan BN?

Seperti yang sudah disebutkan, ramai ahli UMNO yang bersimpati dengan perjuangan kita. Malah di kalangan parti-parti komponen BN, terdapat kumpulan-kumpulan yang menyokong kita. Kita tahu di kalangan hirarki UMNO, di antara pemimpin-pemimpinnya di pelbagai peringkat, ada yang amat tidak puas hati dengan tindakan Dr. Mahathir Mohamad membinasakan kerjaya DS Anwar demi menjaga kepentingan peribadi mereka - kepentingan yang bertentangan dengan kebajikan rakyat. KeADILan tidak memusuhi orang-orang seperti itu. Sebenarnya, adalah menjadi harapan kita dengan pelancaran parti ini mereka akan masuk menjadi ahli kita dan sama-sama berjuang menegakkan sebuah negara Malaysia yang adil. Mereka, dan lain-lain ahli UMNO dan BN mestilah menyedari bahawa di bawah kepimpinan Dr. Mahathir, BN telah menyeleweng dari tujuan dan perjuangan asalnya.  Kerajaan BN mendahulukan kepentingan syarikat-syarikat mega yang mempunyai pertalian rapat bukan sahaja dengan Mahathir tetapi juga dengan Menteri Kewangan Pertama Tun Daim Zainuddin. Ia tidak lagi mewakili kepentingan rakyat biasa Malaysia. Disebabkan mereka yang memerintah sekarang mempunyai ikatan rapat dengan peniaga-peniaga besar akibat ia tidak berupaya membasmi rasuah dalam perniagaan. Demi kepentingan ahli-ahli biasa dalam UMNO dan BN, para pemimpin yang masih mementingkan kebajikan rakyat mestilah membuat keputusan. KeADILan menyediakan peluang itu untuk mereka.

5. Walaupun cita-cita keADILan menyerupai matlamat asal UMNO dan BN, tidakkah nanti pelancaran parti ini akan memecah-belahkan lagi orang Melayu?

Dengan cara mengajak ahli-ahli UMNO kembali kepada perjuangan asal mereka, sebenarnya keADILan menyediakan wadah untuk menyatukan orang-orang Melayu - malah semua rakyat Malaysia - berdasarkan nilai-nilai murni dan akhlak yang tinggi. Sebenarnya orang-orang Melayu berpecah-belah antara satu kumpulan kecil yang berkuasa, berharta dan berprestij dan satu kumpulan lagi yang memperjuangkan keadilan, kebebasan dan integriti. Kumpulan pertama itu berjaya mendominasi masyarakat Melayu disebabkan mereka mempunyai kuasa dan kekayaan yang luar biasa. Namun kumpulan ini tidak mungkin dapat menyatukan orang-orang Melayu kerana mereka itu haloba dan hanya memperjuangkan kepentingan peribadi mereka. Sebagai bukti, kita sudah melihat dalam masa beberapa bulan yang lalu bagaimana tindak-tanduk kumpulan itu telah menyisihkan ahli-ahli biasa UMNO dan memisahkan orang-orang Melayu daripada pemimpin-pemimpin mereka. Dalam lain perkataan, kumpulan ini - iaitu klik Mahathir-Daim - telah semakin memecah-belahkan orang-orang Melayu, lebih daripada orang lain. Tidak mungkin mereka yang begitu mementingkan diri sendiri mampu menyatukan orang-orang Melayu.  Sesungguhnya, untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu, kumpulan ini mestilah dikalahkan di dalam pilihanraya. Hanya dengan cara itu orang-orang Melayu dalam UMNO, PAS, PRM, keADILan dan lain-lain organisasi dapat bersatu - bersatu berdasarkan keadilan dan lain-lain nilai murni. Inilah sahaja asas untuk menyatukan mana-mana masyarakat.  Inilah sebabnya Islam menyatakan bahawa akhlak adalah asas utama untuk menyatukan masyarakat. Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti masyarakat kita ini, nilai-nilai moral hendaklah dijadikan asas bagi menyatu-padukan pelbagai kaum.

6. Tanpa mengambil kira komitmennya kepada perpaduan, tidakkah keADILan akan dilihat sebagai parti serpihan, seperti halnya Semangat Melayu 46?

KeADILan berlainan dengan Semangat ’46 dari beberapa segi.
Pertama, tidak seperti Semangat ’46, pucuk pimpinannya tidak berasal daripada hirarki UMNO. Sebenarnya, tidak ada pemimpin UMNO peringkat kebangsaan dalam Majlis Tertinggi Pemimpin keADILan. Kebanyakan pemimpinnya datang dari luar UMNO.
Kedua, walaupun ramai penyokong reformasi adalah ahli-ahli biasa UMNO, ramai di antara mereka - mungkin juga majoritinya - adalah mereka yang tidak menganggotai mana-mana parti politik. Inilah yang menjadikan keADILan sangat berlainan daripada Semangat ’46.
Ketiga, Semangat ’46 lahir disebabkan berlakunya perpecahan serius di kalangan pemimpin UMNO, antara Team A dan Team B. Meskipun dari satu segi keADILan wujud akibat pemecatan Anwar dari UMNO dan kerajaan, krisis Anwar begitu cepat melangkaui batas-batas parti dan menjadi perjuangan kebangsaan yang melibatkan polis, pejabat Peguam Negara, sistem Kehakiman dan lain-lain institusi awam. Krisis Anwar meninggalkan kesan yang amat besar ke atas negara. Sejak tujuh bulan yang lalu, ia menjadi aktiviti utama masyarakat. Krisis UMNO 1987-88 yang melahirkan Semangat ’46 tidak pernah meninggalkan kesan seperti itu kepada negara.
Keempat, tidak seperti Semangat ’46 yang merupakan respons kepada kepimpinan baru dalam UMNO, matlamat dan objektid keADILan difokuskan kepada reformasi sistem yang lebih luas dan keadilan sosial dari sudut yang menyeluruh.
Kelima, tidak seperti Semangat ’46, keahlian keADILan terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Para pemimpin keADILan adalah komited kepada politik multi-etnik.

7. Mengapakah keADILan memilih untuk menjadi parti multi-etnik?

Parti kami membuka pintunya kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada sebuah negara Malaysia baru yang benar-benar bersatu. Negara Malaysia yang kami perjuangkan ialah Malaysia yang diasaskan kepada kewarganegaraan bersama dan kemanusiaan bersama. Ia adalah negara Malaysia yang menjamin keadilan untuk semua warganegaranya. Dari satu segi, pendekatan multi-etnik keADILan adalah berbeza daripada daya usaha multi-etnik yang pernah dicuba oleh beberapa parti politik tahun 50an, 60an dan 70an.  KeADILan mengambil kira asas sejarah negara Malaysia. Ia menyedari bahawa negara Malaysia yang multi-etnik hari ini lahir dan berkembang daripada kesatuan Melayu. Inilah yang menyebabkan melalui keanggotaan multi-etnik, asas keADILan adalah Melayu dan kepimpinan Melayu.

8. Keanggotaan dan kepimpinan keADILan datang daripada pelbagai segmen masyarakat Malaysia. Ia bukan sebuah organisasi homogen. Mengapa begitu?

Inilah kekuatan keADILan. Ia berjaya menyatukan pelbagai kelompok dalam masyarakat - mereka yang cenderung kepada agama; mereka yang sekular; kaum pekerja di bandar-bandar; petani di luar bandar; peniaga kecil; tokoh-tokoh korporat; eksekutif yang masih muda; profesional separuh baya - menjadi suatu gerakan yang memperjuangkan keadilan. Faktor yang menyatukan mereka ialah komitmen kepada keadilan sosial. Apabila di dalam keADILan terdapat unsur-unsur kepelbagaian, ia disebabkan parti politik kita adalah jelmaan suatu gerakan massa - protes massa yang muncul akibat daripada kezaliman yang dilakukan ke atas Anwar Ibrahim.  Gerakan massa cenderung mengandungi pelbagai elemen di dalamnya.  Disebabkan keADILan bersifat heterogen, ia mampu sampai kepada semua kelompok dalam masyarakat. Diharapkan perkara ini membantu mobilisasi massa parti ini ke arah perubahan politik di dalam Pilihanraya Umum akan datang.

9. Dengan terlancarnya Parti Keadilan Nasional, apakah yang akan terjadi kepada ADIL?

Oleh kerana ADIl adalah sebuah NGO, ia akan menumpukan perhatian kepada pendidikan jangka masa panjang kepada masyarakat berkenaan isu-isu seperti asas-asas kerohanian dan akhlak dalam masyarakat; erti hak asasi manusia dan martabat manusia; pentingnya penglibatan demokratik; mekanisma pengagihan kekayaan negara dan peluang-peluang secara adil; dan pentingnya falsafah nilai-nilai bersama dalam perpaduan kebangsaan.  Terdapat keperluan besar bagi pendidikan seperti itu untuk tujuan meningkatkan kefahaman masyarakat. Tidak dinafikan bahawa beberapa NGO sudah bertahun-tahun bergiat ke arah itu.  ADIL akan bekerjasama secara rapat dengan mereka. Disebabkan ADIL mendapat sokongan rakyat, ia mampu menyebar-luaskan idea-idea berkenaan keadilan sosial dan demokrasi kepada rakyat. KeADILan sebagai sebuah parti politik tentu sekali akan menumpukan perhatian kepada tindakan politik. Tumpuannya ialah pilihanraya umum akan datang. KeADILan akan respons kepada suasana politik yang ada sekarang, bukan pendidikan jangka masa panjang, dan inilah yang membezakan keADILan daripada ADIL.  Meskipun demikian, keADILan dan ADIL akan berganding bahu.  Sebuah parti politik dapat mencari kekuatan daripada sebuah NGO seperti ADIL yang merupakan suatu gerakan sosial, dan begitu juga sebaliknya. Hubungan erat antara sebuah parti politik dan gerakan sosial bukanlah benda baru. Inilah bentuk hubungan antara Masjumi dan Muhammadiyyah di Indonesia dalam tahun 40an dan 50an. Parti Buruh dan kaum Sosialis Fabian di United Kingdom juga mempunyai hubungan seperti itu walaupun tidak betul-betul serupa.

10. Akhir sekali, kenapakah Anwar tidak menganggotai keADILan meskipun nampaknya ia mempunyai kaitan rapat dengan beliau?

Buat masa ini Anwar telah membuat keputusan memilih jalan ini supaya beliau dapat menumpukan perhatiannya kepada tugas berat menyatupadukan parti-parti politik dan NGO yang memperjuangkan reformasi sosial dan keadilan sosial. Jika beliau terlalu terikat dengan mana-mana parti, tugas itu akan menjadi sukar. Seluruh kepimpinan keADILan menyokong keputusan beliau itu. Kami menyedari betapa pentingnya pelbagai kumpulan disatukan bagi menghadapi Pilihanraya Umum akan datang. Berdasarkan imej dan ketokohannya, tidak ada orang lain yang lebih layak memainkan peranan itu. Pada waktu yang sama, nama Anwar akan terus dikaitkan dengan keADILan. Idea-idea beliau telah membantu pembentukan parti ini. Isteri beliau Wan Azizah memimpin parti ini sebagaimana ramai sahabat dan penyokong beliau menganggotai parti ini.  KeADILan adalah saluran utama bagi perjuangan politik Anwar, lebih daripada mana-mana parti lain di negara ini. Kalau pun beliau akan disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, beliau tetap akan menjadi sumber inspirasi dan semangat yang memandu keADILan.
 Anwar for the time being has chosen this path so that he can direct his mind towards the monumental task of forging an understanding among political parties and NGOs committed to social reform and social justice.  If he is too closely associated with one of the parties, he may be encumbered in carrying out this task.  The entire leadership of keADILan supports his decision.  We realise how crucial it is to bring the various groups together for the coming General Election.  Given his image and standing, no one is better suited than Anwar to play this role.
 


 
PERUTUSAN DI MAJLIS PERLANCARAN : < Dr. Wan Azizah> < Anwar Ibrahim>                   

KENYATAAN AKHBAR
 

Jawatankuasa Penaja ADIL
8 Jalan Setiamurni 1
50490 Kuala Lumpur
 
     
Pelancaran Parti Keadilan Nasional (KeADILan)     
    

Dengan takzimnya dimaklumkan bahawa saya dan beberapa rakan seperjuangan dalam pergerakan     
reformasi dan ADIL telah  memutuskan untuk melancarkan sebuah parti yang bernama Parti Keadilan Nasional.  Pelancaran ini akan berlangsung pada 4 April 1999, pukul 10.00 pagi, di Hotel Renaissance     
(Grand Ballroom) Jalan Ampang, Kuala Lumpur.    
 

Parti Keadilan Nasional atau (KeADILan) adalah sebuah pertubuhan politik yang didaftarkan pada tahun 1990. Nama asalnya adalah Ikatan Masyarakat Islam dan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa pada tahun 1999, parti ini dipinda namanya kepada Parti Keadilan Nasional (KeADILan), sesuai dengan aspirasi perjuangan semasa. Kini dengan angin perubahan yang semakin kuat melanda negara, parti ini mendapat nafas baru dengan penyertaan sebahagian besar pendokong dan pemimpin reformasi. Misi perjuangan adalah jelas: menegakkan keadilan dan kebenaran.

KeADILan adalah parti berbilang kaum dan agama yang terbuka keahliannya kepada semua warga Malaysia. Butir-butir lain tentang KeADILan akan diumumkan di majlis pelancarannya pada 4 April 1999.
 
 

Dr. Wan Azizah bte Wan Ismail

30 March 1999